Pembinaan Parit Konkrit Kampung Muhibbah, Kuala Baram Siap Lebih Awal Daripada Jadual

SABTU, 15 JANUARI 2022

MIRI: Projek pembinaan parit konkrit di Lorong Muhibbah 3 Kampung Muhibbah Kuala Baram sepanjang 210 meter dengan 0.9 meter lebar kini siap.

Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Seri Lee kim Shin memberitahu, projek pembinaan parit konkrit dengan jumlah kos keseluruhan RM250,000 disiapkan lebih awal daripada jadual.

“Projek pembinaan parit konkrit ini merupakan peruntukan daripada Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) Dewan Undangan Negeri (DUN) Senadin 2021.

“Ia telah dimulakan pada 10 September 2021 dan dijadualkan siap pada 9 Mac 2022 tetapi telah siap lebih awal,” katanya semasa melakukan lawatan ke situ pada Jumaat.

Dalam lawatan tersebut, Dato’ Seri Lee juga telah meminta pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) agar turut membersihkan tumbuhan akuatik di permukaan sungai kecil berdekatan agar dapat melancarkan pengaliran aliran sungai  sekaligus mengelakkan sebarang kemungkinan berlaku insiden banjir.

Melalui tinjauan tersebut juga, beliau mendapati terdapat sebahagian parit di persekitaran itu yang perlu dinaik taraf.

Katanya, rancangan ini akan dimasukkan ke dalam RTP tahun 2022 untuk mengkaji kesesuaian dan belanjawan melakukannya.

Sementara itu, wakil Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Muhibbah, Madang Laeng menzahirkan rasa terima kasih atas usaha kerajaan membantu menaik taraf sistem perparitan di kawasan kampung.

“Siapnya naik taraf sistem perparitan konkrit ini, ia dijangka dapat menyelesaikan masalah banjir kilat ketika musim tengkujuh,” ujar Madang. – EDISI UKAS

add comment