Penambahan Penerbangan Aktifkan Semula Aktiviti Perniagaan, Sosial Dan Pelancongan Sarawak

JUMAAT, 14 JANUARI 2022

KUCHING : Setelah mengambil kira pelbagai faktor, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) bersetuju untuk menambah kekerapan penerbangan dari Semenanjung Malaysia dan Sabah ke Sarawak dari 307 penerbangan seminggu ke 562 seminggu bermula 14 Januari 2022.

Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata, antara faktor keputusan tersebut dibuat adalah memandangkan Sarawak telah berpindah ke Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4, permintaan penerbangan tambahan untuk sambutan Tahun Baharu Cina, jumlah kes positif COVID-19 yang semakin rendah, pelancong luar negara akan dikuarantin di Kuala Lumpur sebelum masuk ke Sarawak disamping mempromosi industri pelancongan Sarawak.

Secara ringkas, kekerapan penerbangan dari luar Sarawak ke semua bandar dan pekan utama di negeri ini meningkat seperti Kuching; daripada 149x kepada 279x seminggu, Miri meningkat daripada 61x kepada 127x seminggu, Sibu meningkat daripada 45x kepada 83x seminggu, Bintulu meningkat daripada 38x kepada 59x seminggu manakala Limbang dan Mulu kekal 7x seminggu.

Justeru, Dato Sri Lee menyatakan kepercayaan beliau bahawa dengan kekerapan penerbangan serta tambang yang lebih rendah, ia akan mengaktifkan semula aktiviti perniagaan, sosial dan pelancongan di Sarawak. -EDISI UKAS

add comment