Rakyat Malaysia Berumur 18 Tahun Ke Atas Kini Boleh Buat Semakan Untuk Mengundi

SABTU, 15 JANUARI 2022

KUCHING: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah melengkapkan sistem bagi membolehkan rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas untuk mengundi.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia, Dato’ Indera Ikmalrudin Ishak dalam satu kenyataan pada Jumaat memberitahu, Daftar Pemilih Tambahan Bulan Disember Tahun 2021 (DPT BLN12/2021) telah diperaku dan diwartakan dan ia dibuka untuk semakan selama enam bulan mulai 14 Januari 2022 hingga 13 Julai 2022.

Jelas beliau, SPR menyeru kepada warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas sehingga 31 Disember 2021 dan mana-mana pemilih berdaftar yang telah memohon pertukaran bahagian pilihan raya atau pertukaran status untuk menyemak nama mereka dalam DPT 2 BLN12/2021.

“DPT BLN12/2021 ini mengandungi nama bagi 5,718,760 orang warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas sehingga 31 Disember 2021 yang didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu, 25,220 orang pemilih berdaftar yang bertukar bahagian pilihan raya dan 9,293 orang pemilih bertukar status/kategori pengundi,” ujarnya.

Dato’ Indera Ikmalrudin menambah, SPR menyediakan empat kaedah semakan bagi DPT BLN12/2021 iaitu seperti Portal SPR di pautan https://www.spr.gov.my; atau https://mysprsemak.spr.gov.my; Aplikasi mudah alih MySPR Semak; Portal rasmi Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my; atau Hotline SPR di talian 03-8892 7018.

“Sekiranya nama tidak disenaraikan dalam DPT BLN12/2021, TUNTUTAN boleh dibuat dengan mengisi Borang C secara dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan.

“Di samping itu, mana-mana pemilih berdaftar di sesuatu bahagian pilihan raya yang membuat semakan dan berhasrat membuat BANTAHAN ke atas kemasukan nama pemilih yang membuat pertukaran ke bahagian pilihan rayanya dengan mengisi Borang D dan hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan.

Ujar beliau lagi, Borang C dan Borang D juga boleh dimuat turun dari portal Pejabat – Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my dan hendaklah dikemukakan kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri berkenaan pada waktu pejabat pada mana-mana hari bekerja sepanjang tempoh semakan DPT BLN12/2021.

Untuk sebarang pertanyaan mengenai urusan semakan DPT BLN12/2021 ini, orang ramai boleh melayari portal rasmi SPR di pautan https://www.spr.gov.my atau hubungi Hotline SPR di talian 03-8892 7018 atau mana-mana Pejabat Pilihan Raya Negeri.-EDISI UKAS

add comment