Sumbangan Besar Jentera PBB Peringkat Ranting DUN Daro Dihargai

SABTU, 15 JANUARI 2022

DARO: Jentera Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Peringkat Ranting bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.43 Daro diraikan dalam tiga majlis berbeza pada Jumaat.

Majlis tersebut diadakan sebagai menghargai usaha jentera di peringkat ranting yang bertungkus lumus memberikan kemenangan kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 yang lalu.

Ia dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad dan Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi.

Majlis pertama diadakan di Dewan Serbaguna Kampung Tebaang, Daro bagi meraikan Ranting PBB Kampung Tebaang, Daro.

Ia diteruskan pada sebelah petang di Dewan Serbaguna Kampung Pangtray, Daro bagi meraikan Ranting PBB Kampung Pangtray, Daro.

Program terakhir diadakan pada sebelah malam di Dewan Saberguna Kampung Baru, Daro bagi meraikan Ranting PBB Kampung Baru, Daro.

Dalam ucapannya, Safiee menzahirkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua yang membantu dan memberi sokongan kepada beliau semasa PRN12.

Tegasnya, kemenangan cemerlang yang diperolehi beliau daripada para pengundi memberinya semangat untuk berusaha dengan lebih gigih menggalas amanah yang telah diberikan dan membawa banyak lagi perubahan di kawasan Daro.

Katanya, undi yang diterima sangat cemerlang iaitu 93.2 peratus dengan majoriti yang meningkat daripada PRN11 dahulu.

Tambah beliau, keputusan yang cemerlang ini memberinya kekuatan untuk bersuara di peringkat atasan dalam membawa harapan dan aspirasi rakyat yang mahu GPS terus memajukan kawasan Daro. – EDISI UKAS

add comment