16 KIR Mangsa Ribut Di Kampung Opar Terima Bantuan Wang Ihsan, Pembaikan Rumah Terjejas Dan PPRMS

AHAD, 16 JANUARI 2022

BAU: Seramai 16 Ketua Isi Rumah (KIR) mangsa ribut monsun timur laut di Kampung Opar telah menerima Bantuan Wang Ihsan, Pembaikan Rumah Terjejas dan Projek Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang hadir menyampaikan bantuan berkenaan selepas melakukan pemeriksaan rumah mangsa ribut yang berlaku pada 4 Januari lepas di Kampung Opar bersama Jawatankuasa Bencana Daerah Bau (JBDB) pada Sabtu.

Menurut Billy, tujuan pemeriksaan berkenaan adalah untuk melihat semula tahap pembaikan dan memantau pelaksanaan projek yang telah dibiayai.

Katanya, Bantuan Wang Ihsan berjumlah RM164,050 yang disalurkan menerusi JBDB itu adalah daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dengan jumlah kadar RM1,000 kepada setiap mangsa.

Manakala bantuan peruntukan bagi Pembaikan Rumah Terjejas pula adalah sebanyak RM148,050 yang dibiayai oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS).

Selain bantuan berkenaan, tambahnya Pusat Khidmat Opar juga turut membiayai sebanyak RM141,000 melalui PPRMS dan berharap kerja-kerja pembaikan pada kerosakan mengikut standard senarai kuantiti Jabatan Kerja Raya (JKR) itu akan dapat diselesaikan dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, Pengerusi JBDB merangkap Pegawai Daerah Bau, Anielia Siam memaklumkan bahawa pemberian Bantuan Wang Ihsan dan Pembaikan Rumah Terjejas tersebut adalah Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak NADMA dan JPBNS yang harus dilaksanakan dalam tempoh masa 10 hari selepas berlaku kejadian bencana.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Bau,DSP Poge Nyaon; Pegawai Pertahanan Awam Daerah Bau,Patrick Lagak Patih; Pegawai Kanan Penguasa Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat Bau,Tawang Lingem; Jurutera Daerah JKR Bau,Sandra Jujane Jutim; Penolong Pegawai Kebajikan Masyarakat Bau,Nurhanizan Abdul Rahman; Penghulu Kawasan Bratak,Gabriel Bain Gonyep; Ketua Kaum Kampung Opar,Dewen Giam dan Ahli Majlis Daerah Bau,Jossem Daweg.-EDISI UKAS

add comment