Dato Sri Fatimah Sempurnakan Pertandingan Persahabatan Badminton Antara PBPNS Dan JPN Sarawak

AHAD, 16 JANUARI 2022

KUCHING: Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah menyempurnakan perasmian pertandingan persahabatan badminton antara Persatuan Para Badminton (PBPNS) dengan Jabatan Pendaftaran Negeri (JPN) Sarawak di Winner Court pada Ahad.

Menurut Dato Sri Fatimah, pertandingan persahabatan itu melibatkan seramai 24 orang iaitu 12 atlet PBPNS dan 12 lagi dari JPN Sarawak.

Jelas beliau, pertandingan itu akan memberi suntikan semangat kepada PBPNS yang bertanding dalam Sirkit Badminton Kebangsaan dan Sukan Para SUKMA yang akan diadakan tidak lama lagi.

“Bagi kami ini adalah merupakan satu suntikan semangat kepada para atlet dalam acara badminton.

“Saya percaya bila ada sokongan daripada komuniti, ianya akan menambah iltizam mereka untuk berlatih bersungguh-sungguh supaya mencapai kemenangan untuk pasukan PBPNS dalam kejohanan Sukan Para SUKMA yang akan diadakan pada tahun ini,” jelasnya.

Sehubungan itu, Dato Sri Fatimah mengharapkan sasaran dua pingat yang akan diperoleh dalam Sukan Para SUKMA tersebut.

Dalam pada itu, beliau berterima kasih kepada JPN Sarawak atas kesudian menerima pelawaan untuk mengadakan perlawanan persahabatan badminton ini.-EDISI UKAS

add comment