E-Sports Semakin Diminati Di Sarawak

AHAD, 16 JANUARI 2022

SIBU: Sukan elektronik atau e-sports semakin mendapat tempat dalam kalangan remaja di Malaysia khususnya di Sarawak.

Menurut Menteri Muda Industri Kreatif & Seni Persembahan Sarawak II, Datuk Snowdan Lawan, selain faktor minat, potensi untuk meraih pulangan lumayan menjadikan sukan alaf baru itu trend terkini dan digilai di seluruh dunia ketika ini.

Katanya, ini dibuktikan dengan peningkatan 10 kali ganda jumlah pengiat sukan itu di seluruh dunia dalam tempoh lima tahun iaitu seramai 307 juta orang pada 2021 berbanding 160 juta orang pada 2016.

“Hari ini semakin ramai orang Malaysia terutama orang Sarawak mencari peluang dalam sukan elektronik. Siapa tahu dalam kalangan anda di sini akan menjadi atlet antarabangsa satu hari kelak di mana anda berpeluang bertanding di peringkat dunia.

“Ini kerana sukan ini telah dimasukkan dalam SUKMA, Sukan SEA dan dimainkan di seluruh dunia ketika ini,” beliau berucap demikian pada Majlis Perasmian Borneo E-Sports Workshop 2022 di Kingwood Hotel Sibu pada Sabtu.

Justeru, beliau menyambut baik inisiatif Kelab Sukan Elektronik District, Sibu dengan menganjurkan bengkel berkenaan sebagai pendedahan awal untuk melahirkan atlet e-sports dari Sarawak yang berpotensi mencipta nama di pentas dunia.

Beliau turut memuji kejayaan penganjuran bengkel disertai lebih 150 peserta itu.

“Saya melihat ramai golongan remaja hadir hari ini kerana minat mereka dalam e-sports. Ini sangat baik kerana esport merupakan trend semasa ketika ini dalam kalangan remaja hari ini dan merupakan trend di seluruh dunia hari ini,” tambahnya lagi.

Terdahulu, Presiden Kelab Sukan Elektronik District Sibu, Lee Sieng Keong dalam ucapannya berkata penganjuran bengkel tersebut bertujuan mendidik dan memperkasakan pasukan atau atlet e-sports tempatan khasnya di Sarawak dengan menggabungkan elemen pendidikan untuk meningkatkan tahap pemikiran dan profesionalisme mereka selaras dengan Pelan Strategik Pembangunan Esports 2020-2025 Kementerian Belia Dan Sukan Malaysia.

Pelbagai aktiviti diadakan dalam bengkel selama dua hari yang berakhir pada Ahad. – EDISI UKAS

add comment