36 Lagi Kes Varian COVID-19 Omicron Dikesan Menular Dalam Komuniti

AHAD, 16 JANUARI 2022

KUCHING : Sebanyak 36 lagi kes varian COVID-19 Omicron telah dikesan di empat bahagian di Sarawak iaitu di Kuching, Samarahan, Sibu dan Kapit.

Pengarah Institut Kesihatan Dan Perubatan Komuniti (IHCM) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Profesor Dr David Perera memberitahu, sebahagian besar kes itu membabitkan penularan dalam komuniti.

Beliau menjelas demikian dalam laporan perkembangan penularan COVID-19 bagi Disember 2021 hingga 11 Januari 2022 kepada Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah, pada Sabtu.

Menurutnya, varian Omicron mencetuskan kebimbangan kerana sangat mudah menular khususnya dalam kalangan masyarakat.

Justeru beliau mengingatkan semua pihak agar lebih berhati-hati terutama ketika menyambut perayaan Tahun Baharu Cina akan datang.

Tambah Profesor Dr David, Prosedur Operasi Standard (SOP) kesihatan awam juga perlu dipatuhi dengan ketat termasuk mendapatkan suntikan dos penggalak.

Ini kerana, kajian menunjukkan dos penggalak perlu untuk meneutralkan penurunan paras antibodi bagi melindungi daripada jangkitan Omicron.-EDISI UKAS

add comment