Pembinaan Dua Jalan Baru Bantu Kurangkan Kesesakan Di Samarahan

AHAD, 16 JANUARI 2022

SAMARAHAN: Pembinaan dua jalan baru oleh Kerajaan Negeri dan pusat bakal membantu mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas di kawasan Samarahan.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan, Datuk Hamzah Brahim, salah satu dari jalan tersebut sedang dalam pembinaan oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) dikenali sebagai Jalan Lapangan Terbang.

Katanya, Kerajaan Negeri turut merancang membina sebuah lagi jalan di kawasan Tambirat, Asajaya.

“Apabila dua jalan ini siap nanti, Insyaallah isu kesesakan di Samarahan akan menjadi jauh lebih kurang. Ini yang kerajaan rancang pada masa kini,” katanya dalam sidang media selepas menyempurnakan majlis simbolik penyerahan sijil lesen dan kunci kepada 32 pemilik gerai Medan Selera MPKS Uni Garden pada Sabtu.

Jelasnya, beliau telah mengadakan perjumpaan dengan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR), Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) dan agensi terlibat untuk mencari jalan bagi mengurangkan isu kesesakan di Samarahan khususnya di Jalan Samarahan Expressway dan Jalan Datuk Mohammad Musa.

Malah beliau turut mendesak pihak JKR untuk mengambil tindakan serius terhadap kontraktor yang gagal menyiapkan projek pembinaan Jalan Samarahan Expressway mengikut jadual ditetapkan.

“Saya sendiri selaku wakil rakyat di sini terus mendesak supaya pihak JKR mengambil tindakan serius terhadap kontraktor kerana memberi keutamaan terhadap kesejahteraan warga Stakan dan sekitarnya.

“Untuk Jalan Datuk Mohd Musa, jadual mereka ‘ahead of schedule’. Insyaallah, Ogos tahun depan, jalan ini siap,” tambah beliau lagi.

Mengulas mengenai medan selera tersebut, Datuk Hamzah berkata ia merupakan usaha pihak MPKS dengan menyediakan tapak dan gerai yang lebih kondusif, selamat dan tersusun kepada peniaga di sekitar Samarahan untuk menjalankan aktiviti perniagaan dengan mudah.

Tambahnya lagi, dengan adanya konsep perniagaan seperti itu akan menarik minat penduduk di sekitar untuk hadir atau menjamu selera di situ seterusnya memberi peluang perniagaan kepada semua peniaga di Samarahan.

Hadir sama Pengerusi MPKS Dato Peter Minos, Pemangku Setiausaha MPKS Mirwan Abdul Karim dan Pengerusi Medan Selera UniGarden Nur Suhaili Abdullah. – EDISI UKAS

add comment