Tempat Transit Gelandangan Dan Pusat Sokongan Komuniti Sosial Akan Diwujudkan Di Miri

AHAD, 16 JANUARI 2022

MIRI: Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti akan mewujudkan Tempat Transit Gelandangan (TTG) sementara dan Pusat Sokongan Komuniti Sosial di Bahagian Miri. 

Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah, kedua-dua perkara itu adalah sebahagian daripada Manifesto Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang akan dilaksanakan bagi menepati janji kepada rakyat.

“Ada dua perkara yang akan kita wujudkan di Bahagian Miri ini, satu ialah Tempat Transit Gelandangan (TTG) penempatan gelandangan dan keduanya  Pusat Sokongan Komuniti Sosial Miri.

“Untuk TTG, pada 19 Januari nanti kita akan adakan satu perbincangan tentang lokasi yang telah kita kenal pasti sebagai tempat sementara TTG. 

“TTG ini mestilah mempunyai tempat strategiknya dengan ianya tidak boleh jauh bandar. Sebab itu, kita transitkan gelandangan bagi membolehkan mereka bermalam. Kita tidak mahu lagi gelandangan itu tidur di kaki lima,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Bengkel Penetapan Program dan Intervensi Sosial Majlis Pembangunan Sosial Tahun 2022 di Hotel Pullman Miri pada Sabtu. 

Dato Sri Fatimah turut memaklumkan akan melawat tempat Pusat Sokongan Komuniti Sosial Miri dalam masa terdekat ini. 

Selepas itu, beliau dan rombongan telah mengadakan lawatan ke Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Miri.

Pada tahun 2021, PPDK Miri telah merangkul Anugerah PDK Cemerlang Tahun 2021 Peringkat Kebangsaan pada 3 Disember 2021 dalam Majlis Malam Kasih OKU Keluarga Malaysia bertempat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Beliau mahu PPDK Miri ini boleh menjadi contoh kepada PPDK lain agar bersama-sama memberi perkhidmatan yang terbaik kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

Hadir sama Pemangku Residen Bahagian Miri Jamalie Busri, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak Noriah Ahmad, Setiausaha Eksekutif Majlis Pembangunan Sosial Dr Zufar Yadi Brendan Abdullah dan wakil Pemangku Pegawai Daerah Miri Edward Tarang.-EDISI UKAS

add comment