6 NGO Terima Geran Khas Tambahan Ketua Menteri Berjumlah RM77,000

SELASA, 17 JANUARI 2022

LIMBANG: Penyerahan geran khas Ketua Menteri Sarawak ini sepatutnya diadakan pada tahun lepas, tetapi disebabkan Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) Sarawak ianya terpaksa ditangguhkan. 

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, ini merupakan geran khas Ketua Menteri tambahan daripada Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg. 

Katanya, peruntukan sebelum ini tidak mencukupi disebabkan terlalu banyak permohonan dan ini menyebabkan adanya peruntukan tambahan bagi permohonan baharu. 

“Saya berharap peruntukan ini (geran khas Ketua Menteri) ini akan dapat digunakan sebaiknya untuk aktiviti persatuan dan kelab demi kepentingan ahli-ahlinya.

“Sebelum ini, geran khas Ketua Menteri telah dibahagi-bahagikan ke Sarawak dan hari ini (Ahad) untuk Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) di daerah Limbang. 

“Inshallah, jika ada rezeki akan diusahakan lagi pada tahun ini,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Penyerahan Geran Khas Projek Kecil Luar Bandar (MRP) Ketua Menteri Sarawak di Hotel Purnama Limbang pada Ahad. 

Pada majlis itu, sebanyak 6 geran khas Ketua Menteri Sarawak diserahkan kepada NGO dan agensi kerajaan serta sebuah lagi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dengan nilai keseluruhan berjumlah RM77,000. 

Turut sama hadir Timbalan Menteri II Pembangunan Luar Bandar merangkap Ahli Parlimen Limbang Datuk Hasbi Habibollah, Menteri Muda Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang dan Residen Bahagian Limbang Ir. Ahmad Denney Ahmad Fauzi. -EDISI UKAS

add comment