Banjir Jejaskan Pendapatan Penjaja Di Medan Selera Matu

ISNIN, 17 JANUARI 2022

MATU: Musibah banjir yang melanda beberapa kawasan di Matu ketika ini menyukarkan ramai pihak khususnya golongan penjaja.

Bagi penjaja di Medan Selera Matu, meskipun perniagaan dibuka seperti biasa namun jumlah pendapatan amat terkesan kerana pelanggan tidak berani mengambil risiko meletakkan kenderaan yang rendah di kawasan sekitar Medan Selera dan Pekan Matu yang terjejas akibat banjir.

Pengusaha premis makanan, Ba’yah Mohamad Sapawi, Tan Chuan Cheng dan Zainah Julai ketika ditemui berkata mereka agak gusar dengan kawasan yang ditenggelami air menyebabkan pendapatan harian mereka agak terjejas namun mereka akur dengan keadaan itu dan berharap paras air akan surut dengan keadaan seperti biasa.

Menurut mereka, perkara tersebut tidak akan mematahkan semangat mereka untuk terus beroperasi bagi meneruskan perniagaan makanan kepada penduduk sekitar.

Dalam pada itu, mereka sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan yang akan berlaku kerana fenomena banjir ini bagi mereka adalah di luar kawalan dan ianya berlaku hampir setiap tahun.-EDISI UKAS

add comment