Kaum Bidayuh Penyumbang Sokongan Majoriti Kepimpinan Kerajaan Sarawak

ISNIN, 17 JANUARI 2022

KUCHING : Slogan ‘sehati sejiwa’ dan ‘satu Bidayuh’ banyak memberi impak positif di dalam penyatuan kaum Bidayuh di seluruh Sarawak pada hari ini.

Menurut Penasihat Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA), Datuk Amar Michael Manyin Jawong, kaum Bidayuh merupakan penyumbang sokongan majoriti pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 yang lepas.

Berucap dalam Majlis Apresiasi di Kuching pada Ahad, katanya, kemenangan Gabungan Parti Sarawak (GPS) melibatkan lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bidayuh yang berjaya mengekalkan kerusi DUN masing-masing juga menandakan kaum Bidayuh masih lagi bersatu di bawah satu bumbung dan masih menyokong kepimpinan kerajaan sedia ada.

Tambah Datuk Amar Michael Manyin lagi, DBNA merupakan sebuah persatuan yang disanjung tinggi kerana telah memain peranan penting menyatukan kaum Bidayuh selama ini.

Persatuan itu juga jelasnya, sedikit sebanyak membantu kaum Bidayuh bersatu menerapkan budaya perpaduan disamping menyediakan diri dengan pelbagai kemahiran agar tidak ketinggalan di dalam arus pembangunan sosio ekonomi, teknologi, pendidikan,  kemahiran termasuk insaniah. 

Turut berucap dalam majlis sama, Menteri Pendidikan Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Roland Sagah Wee Inn memberitahu, jasa dan pengorbanan Datuk Amar Michael Manyin terbukti telah mentransformasi kawasan Bidayuh dengan akses jalan yang amat dikagumi. 

Ujarnya, beliau merupakan nadi penting kepada kewujudannya bahagian Serian dan bangunan pusat pentadbiran kerajaan Sarawak di bandar Serian sebelum ini.

Hadir sama; Menteri Muda Pengangkutan I,Datuk Dr Jerip Susil; Menteri Muda Pengangkutan II,Dato Henry Harry Jinep; Menteri Muda Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah ll,Martin Ben; ADUN Serembu,Miro Simoh; ADUN Bukit Semuja,John Ilus; ADUN Tebedu,Dr.Simon Sinang Bada; ADUN Opar, Billy Sujang dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri merangkap Presiden DBNA, Datu Ik Pahon Joyik.-EDISI UKAS

add comment