Kemenangan Besar GPS Bukti Keyakinan Rakyat Terhadap Kepimpinan Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari

ISNIN, 17 JANUARI 2022

LIMBANG: Kejayaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) memenangi 76 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 82 kerusi DUN yang ditandingi sangat memberi makna kepada Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg yang menyambut ulang tahun ke-5 sebagai Ketua Menteri Sarawak. 

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, ianya adalah manifestasi bahawa rakyat mempunyai keyakinan yang begitu tinggi terhadap kepimpinan Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari sebagai Ketua Menteri untuk terus memperjuang dan mempertahankan hak serta kepentingan Sarawak.

“Sebab itu kita amat berbangga dengan Ketua Menteri. Sejak beliau mengambil alih kepimpinan apatah lagi kita berlandaskan perjuangan menerusi (Gabungan Parti Sarawak (GPS) setelah kita mengambil keputusan keluar dari Barisan Nasional supaya kita bebas bersuara untuk memperjuang dan mempertahankan hak kita dan kita tidak akan terikat dengan kemelut politik di Semenanjung Malaysia,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Malam Apresiasi Petugas Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) Sarawak Peringkat DUN Bukit Kota dan DUN Batu Danau di Hotel Purnama Limbang pada Sabtu. 

Tambah Datuk Amar Awang Tengah lagi, Kerajaan GPS juga komited untuk terus mempertahankan kestabilan politik di Sarawak dan memastikan kemajuan serta pembangunan negeri ini dapat dipertingkatkan. 

Mengenai sambutan Malam Apresiasi Petugas PRN12 Sarawak DUN Bukit Kota dan Batu Danau, beliau yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli II dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan Sarawak mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada semua petugas yang menjayakan perancangan dan pergerakan semasa PRN12 Sarawak lepas. 

“Tanpa adanya gerak kerja yang tersusun kita tidak boleh mencapai apa yang telah kita rancang untuk dijalankan. 

“Dari tu, kejayaan ini banyak bergantung kepada gerak kerja yang dilakukan oleh kita semua untuk memastikan apa yang kita rancang dapat dilaksanakan dengan suasana yang berbeza,” jelasnya. 

Ujarnya lagi, keputusan PRN12 Sarawak lepas adalah keputusan yang cukup cemerlang dan ia adalah merupakan endorsement kepada kepimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari yang memimpin kerajaan GPS Sarawak.

Hadir sama Timbalan Menteri II Pembangunan Luar Bandar merangkap Ahli Parlimen Limbang Datuk Hasbi Habibollah, Menteri Muda Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah merangkap Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Bukit Kota Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Residen Bahagian Limbang Ir. Ahmad Denney Ahmad Fauzi, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) dan komponen GPS DUN Bukit Kota dan DUN Batu Danau. -EDISI UKAS

add comment