Kemenangan GPS Membolehkan Pembangunan Di DUN Bukit Sari Dapat Diteruskan

ISNIN, 17 JANUARI 2022

LAWAS: Kejayaan cemerlang Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) Sarawak lepas membolehkan pembangunan berterusan dilaksanakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Sari.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pembangunan ini termasuklah sekolah-sekolah, jalan raya, api, air, telekomunikasi dan kemudahan lain yang akan terus ditingkatkan.

“Dengan sokongan ini, membolehkan Kerajaan Sarawak meneruskan perancangan pelaksanaan pembangunan di kawasan kita ini. 

“Ada yang sudah dilaksana, ada yang sedang dilaksana dan ada yang masih dalam perancangan.

“Kita akan teruskan dengan keyakinan dan sokongan yang rakyat berikan termasuk menaik taraf hidup masyarakat dan kebajikan rakyat serta menjadikan Sarawak sebuah negeri maju,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Kesyukuran Sempena Kemenangan GPS Zon Kuala Lawas dan Penyampaian Sumbangan Beg Sekolah SK Kuala Lawas di Dewan Kampung Noor Islam Kuala Lawas pada Ahad. 

Dalam pada itu, Datuk Amar Awang Tengah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari mahu ibu bapa memastikan anak-anak mempunyai pendidikan dan kemahiran yang berguna untuk masa depan lebih baik.

“Kita harus pastikan anak-anak kita mempunyai pendidikan dan kemahiran apatah lagi dalam dunia serba moden sekarang ini yang semuanya digerakkan oleh ilmu pengetahuan. 

“Tanamkan sikap produktif dalam diri kita. Dengan pendidikan, ilmu pengetahuan, akhlak yang baik, keinginan untuk terus maju.

“Ini akan meningkatkan kualiti dan taraf hidup serta anak-anak kita. InshaAllah kita akan berjaya,” ujarnya. 

Pada majlis itu, beliau telah menyerahkan beg sekolah kepada 26 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Lawas. 

Hadir sama Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia merangkap Ahli Parlimen Lawas Dato’ Henry Sum Agong, Residen Bahagian Limbang Ir Ahmad Denny Ahmad Fauzi, Penolong Pegawai Daerah Lawas Joseph Ganang Surang, Pengarah NRDA Dato Ubaidillah Abdul Latiff, wakil Zon Kuala Lawas Kauselor Matamin Ahmad dan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Ahli Jawatankusa Parti Zon Kuala Lawas.-EDISI UKAS

add comment