ISNIN, 17 JANUARI 2022
MUKAH: Pemuda Gabungan Parti Sarawak (GPS) berikrar akan terus memberikan perkhidmatan terbaik dalam mencapai asprasi menjadikan Sarawak negeri maju.
Menurut Menteri Muda Belia dan Sukan, Pembangunan Keusahawan 1, Dato Gerald Rentap Jabu, peranan golongan belia sangat penting sebagai penentu masa depan Sarawak.
“Sekarang kita diarah meningkatkan pembangunan yang lebih lagi dari segi polisi digital, ekonomi digital, jalan pesisir, termasuk juga airport Mukah, termasuk penemuan gas di Balingian.
“Belia dan anak-anak muda kita harus mengambil peluang untuk meningkatkan ekonomi kita. Kita rakyat tempatan perlu ambil peluang dalam ekonomi tempatan,” katanya berucap pada Majlis Santai Belia sempena lawatannya ke Mukah Jumaat.
Dato Gerald yang juga ADUN Layar mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg kerana memberi kepercayaan kepada barisan Pemuda untuk meneruskan kepimpinan di Sarawak.
Terdahulu, ADUN Tellian, Royston Valentine dalam ucapannya memberitahu penubuhan Sayap belia dalam Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) mesej jelas Ketua Menteri untuk membawa penglibatan belia dalam scenario politik di Sarawak.
Sementara itu, Dato Gerald dan Royston berkesempatan melakukan ‘Walkabout’ di Market Basah Mukah pada Sabtu.
Sambil meninjau aktiviti dan beramah mesra dengan penjaja dan pelanggan di pasar berkenaan, beliau turut bersarapan di Setabak Mukah bersama dengan Pergerakan Pemuda N.57 Tellian.
Lawatan kedua ADUN itu diteruskan dengan meninjau lokasi banjir di Tellian Ulu disusuli menghadiri perlawanan Tenis Mukah 2022.
Dato Gerald kemudian melawat Stadium Mukah di mana Royston mencadangkan penambahan fasiliti sukan renang dan futsal dilaksanakan dalam Fasa 2 di stadium berkenaan.
Turut hadir Setiausaha Politik Ketua Menteri Sarawak, Romeo Christopher Tegong dan kakitangan Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) Mukah. – EDISI UKAS