JPBNS Sasar Pemberian Dos Penggalak Lengkap Menjelang Mac 2022

SELASA, 18 JANUARI 2022

KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) menyasarkan pemberian dos penggalak vaksin COVID-19 di negeri ini akan lengkap sebelum Mac 2022.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Pengerusi JPBNS, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, sehingga 13 Januari 2022, sebanyak 72.2 peratus rakyat yang layak telah mendapatkan vaksin tersebut.

Bagaimanapun katanya, masih ada lebihan anggaran sebanyak 380,047 individu yang layak untuk menerima vaksin, namun belum tampil mendapatkannya.

“Sehingga kini, masih terdapat 380,047 rakyat dianggarkan yang layak untuk mendapat dos penggalak tetapi belum tampil ke hadapan..66,184 adalah di Kuching, 71,362 di Miri, 38,284 di Sibu dan di Sarikei, 31,670,” katanya kepada media semasa melawat ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Integrasi Spring pada Selasa.

PPV di Tingkat 2 Kompleks Beli Belah The Spring itu merupakan satu-satunya PPV integrasi di Kuching yang masih beroperasi untuk memberikan dos penggalak vaksin COVID-19.

Sehubungan dengan itu, Datuk Amar Douglas memberitahu, PPV Integrasi Spring akan beroperasi sehingga satu tarikh yang akan ditentukan kemudian, bergantung kepada sambutan orang ramai.

“Jadi saya menyeru kepada sesiapa yang belum dan yang layak tetapi belum mendapatkan dos penggalak, sila datang ke PPV integrasi di Kuching atau di klinik-klinik swasta yang berdaftar dan juga di klinik awam..masih ada”

“Kita merayu mereka tampil ke hadapan,”tambahnya.

Turut Sama mengiringi beliau sepanjang lawatan itu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Transformasi Luar Bandar), Datu Ik Pahon Joyik.-EDISI UKAS

add comment