Keperluan Infrastruktur Luar Bandar Terus Dipergiat, Tarik Pelaburan Luar

SELASA, 18 JANUARI 2022

LAWAS: Kerajaan Sarawak sentiasa prihatin dan terus berusaha untuk meningkat serta menambahbaik keperluan penduduk di luar bandar khususnya di Lawas.

Menurut Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, banyak projek sedang dalam pelaksanaan ketika ini seperti bekalan air, elektrik dan telekomunikasi.

Ujar beliau, ia merupakan keperluan Sarawak terutama untuk menarik pelaburan dari luar bagi menampung keperluan yang diperlukan.

“Dengan adanya kemudahan ini bukan sahaja dapat membantu dan menambahbaik keperluan masyarakat kita tetapi juga  meningkatkan lagi kemudahan pelaburan yang akan datang ke Lawas ini,” katanya semasa berucap pada Majlis Kesyukuran sempena kemenangan Gabungan Parti Sarawak (GPS) Zon Punang dan penyampaian sumbangan beg sekolah SK Punang.

Datuk Amar Awang Tengah menambah, Lawas merupakan kawasan strategik yang dapat menarik minat para pelabur seperti minyak dan gas.

“Jika menjadi kenyataan, ia akan memberi peluang pekerjaan yang banyak iaitu sekurang-kurangnya mereka memerlukan 15,000 pekerja serta dapat meningkatkan ekonomi kita melalui bidang pelancongan, perusahaan kecil dan sederhana.

“Ini semua berlaku sebab kerajaan kita dalam keadaan yang stabil dan selamat.

“Kemudahan yang disediakan ini dengan sendirinya akan dapat mengembangkan sektor perniagaan dan produk-produk kita,” ujarnya lagi.

Hadir sama Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia merangkap Ahli Parlimen Lawas, Dato’ Henry Sum Agong; Residen Bahagian Limbang, Ir Ahmad Denny Ahmad Fauzi; Penolong Pegawai Daerah Lawas, Joseph Ganang Surang; Pengarah Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA), Dato Ubaidillah Abdul Latiff; wakil Zon Punang, Awang Haris Narudin; Ketua-ketua Kampung serta Ahli Jawatankuasa (AJK) Parti Zon Punang. – EDISI UKAS

add comment