Pemberian Bantuan Industri Kampung Berjaya Pertingkatkan Keluaran Dan Pasaran Produk

SELASA, 18 JANUARI 2022

LIMBANG: Dahulu Awang Abdul Rahman Abdul Jalil bersama isteri dan anak-anak hanya membuat songkok secara ‘homemade’ di rumah sahaja. 

Bagaimanapun, selepas permintaan songkok meningkat, beliau telah memperbesarkan kawasan pembuatannya kepada sebuah pondok kecil bagi menampung lebih banyak songkok sejak tahun 2000. 

Menurut Timbalan Menteri II Pembangunan Luar Bandar Datuk Hasbi Habibollah, jumlah songkok yang dijual telah mencecah puluhan ribu dan dieksport ke luar Limbang seperti Lawas, Miri, Bintulu, Brunei. Sabah dan Semenjung Malaysia.  

“Kita daripada Parlimen Limbang apabila melihat potensi begini baik, kita pun membantu dengan memperuntukan RM35,000 untuk membina semula kilang ini. Cukup dengan keluasannya, menjahit, bilik air dan keperluan semasa. 

“Saya juga yakin Giat MARA juga boleh membantu dengan menambah mesin dengan sekarang ini ada mempunyai dua biji. 

“Kalau boleh kita minta Giat MARA bantu di bawah Program Peningkatan Pendapatan (PPP),” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas penyerahan Bantuan Industri Kampung (Pembuat Songkok) di UTN Enterprise Kampung Bunga Raya pada Ahad. 

Pelbagai macam jenis songkok telah dihasilkan bukan hanya songkok biasa tetapi juga songkok untuk istiadat majlis termasuk logo atau reka bentuk juga dihasilkan. 

Datuk Hasbi yang juga Ahli Parlimen Limbang berharap dengan adanya kilang ini membolehkan kepandaian dan kemahiran yang dimiliki diperluaskan bagi membantu mereka yang baharu menceburi bidang pembuatan songkok. 

“Mudah-mudahan dengan adanya kilang ini saya yakin Insha Allah dengan kepandaian yang ada pada beliau dan kemahirannya juga boleh dikembangkan untuk menjadi guru kepada mana-mana industri kecil yang boleh membantu untuk mengajar orang membuat,” ujarnya. 

Beliau dalam pada itu turut memaklumkan akan membantu industri kampung lain seperti pembuatan perabot yang ada di Kampung Tentaya dengan tempat pembuatannya di bawah rumah dan kurang promosi. 

Sementara itu, bagi pemilik UTN Enterprise Awang Abdul Rahman Abdul Jalil, beliau mengucapkan terima kasih kepada kerajaan di atas bantuan ini yang pastinya akan digunakan sebaiknya demi memperkembangkan lagi industri pembuatan songkok. 

“Di samping itu, kita akan berusaha tingkatkan lagi jualan dengan atas talian dan bukan atas talian. 

“Sekarang ini kita ada platform seperti Shopee, Whatapps, Facebook, usahawan Sarawak dan usahawan Malaysia yang boleh digunakan untuk mengiklankan barangan kita. 

“Berkat daripada usaha kita itu ada yang berminat kita akan usahakan untuk membuat tempahan tersebut,” katanya. 

Hadir sama Pemanca Jun Silah, Penghulu Jamil Bakar dan Ketua Kampung Bunga Raya Adanan Hamdan.-EDISI UKAS

add comment