SELASA, 18 JANUARI 2022
KUCHING : Seramai 100 orang penerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) di bahagian Kuching menerima ‘Ang Pow’ sempena Tahun Baru Cina di Tokong Heng Hua Seng Ing Tong pada Isnin.
Sumbangan wang tunai bernilai RM100 beserta hamper disampaikan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak Dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK), Dato Sri Fatimah Abdullah menerusi Majlis Sejambak Kasih Tahun Baru Cina 2022 anjuran JKMS dengan kerjasama Kuching Heng Hua Seng Ing Tong.
Berucap pada majlis berkenaan, Dato Sri Fatimah berkata, program kolaborasi sedemikian memperlihatkan perpaduan, keharmonian dan solidariti sentiasa wujud di negeri ini lebih-lebih lagi apabila melibatkan aktiviti kebajikan.
“Inilah yang kita praktikkan di negeri Sarawak.. tidak mengira kaum, bangsa dan agama”
“Sebagai orang Sarawak kita harus merasa bangga kerana apabila musim perayaan kita tidak akan lupa golongan yang memerlukan bantuan”
Dato Sri Fatimah dalam pada itu, membidas tanggapan sesetengah pihak yang mengatakan bahawa bantuan JKMS hanya untuk satu bangsa sahaja.
Tegasnya, setiap tahun JKMS memberikan bantuan mengikut keperluan yang mana mengambil kira dari segi pendapatan isi rumah.
“Bila JKMS beri bantuan, bantuan itu diberi mengikut keperluan dan dari segi pendapatan isi rumah..bukan mengikut bangsa mahupun agama”
“Oleh itu, kepada rakan-rakan yang berbangsa Cina, buanglah tanggapan bahawa bantuan JKMS itu hanya untuk satu bangsa sahaja.”
Menurut Dato Sri Fatimah, seramai 6,106 penerima di seluruh Sarawak mendapat sumbangan berkenaan sama ada secara tunai atau dikreditkan ke akaun bank.
Tambahnya lagi, penerima yang hadir merupakan antara yang terpilih daripada 2,814 jumlah penerima di bahagian Kuching.-EDISI UKAS