Projek Baik Pulih Ban Lubok Punggor Bakal Bantu Hidupkan Semula Pengeluaran Beras Biris

SELASA, 18 JANUARI 2022

SIMUNJAN: Projek membaik pulih ban Lubok Punggor di bawah Pejabat Pertanian Bahagian Samarahan bagi kawasan penanaman padi bakal menghidupkan semula pengeluaran beras biris yang popular di kawasan Simunjan.

Menteri Pelancongan, Seni Dan Budaya Malaysia merangkap Ahli Parlimen Batang Sadong, Dato Sri Nancy Shukri memberitahu, projek bernilai RM1,636,159 menerusi peruntukan Agensi Pembangunan Wilayah Bersepadu Samarahan (IRSDA) tersebut adalah bagi membaiki ban pecah yang menyebabkan air bertakung dan menjejaskan kualiti penanaman padi.

Jelasnya, setelah projek berkenaan siap, ianya akan membantu 130 ekar kawasan dalam meningkatkan produktiviti tanaman padi.

“Kawasan padi penanaman padi mempunyai keluasan 130 ekar yang dimiliki oleh 130 orang petani.

“Namun, setakat ini kita lihat kawasan padi yang masih aktif adalah 90 ekar kerana ada kawasan yang tidak sesuai dan kita berharap penduduk di Lubok Punggor yang mempunyai tanah di kawasan ini boleh kembali menanam padi,” katanya selepas merasmikan Majlis Penyerahan Tapak Projek kepada pihak kontriktor di Kampung Lubok Punggor, Gedong pada Isnin.

Dato Sri Nancy menambah, projek baik pulih ban tersebut mengambil masa selama enam bulan dan dijangka siap pada bulan Julai 2022. -EDISI UKAS

add comment