Satu Perbincangan Lanjut Perlu Diadakan Penjelas Sempadan Kawasan Miri-Sibuti Coral Reef

SELASA, 18 JANUARI 2022

MIRI: Satu perbincangan telah diadakan berhubung kekeliruan nelayan mengenai sempadan kawasan Miri-Sibuti Coral Reef yang telah pun diwartakan sebagai Taman Negara sebelum ini.

Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin berkata, perbincangan ini melibatkan beberapa pihak yang berkepentingan. 

“Antara agensi yang terlibat dalam perbincangan ini ialah Persatuan Kapal Nelayan Sarawak (SFVA) dan wakil Persatuan Nelayan dengan agensi-agensi penguatkuasa iaitu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Miri, Sarawak Forestry Corporations Sdn Bhd (SFC), Jabatan Perikanan Laut Sarawak (JPLS) Wilayah 3 serta Pejabat Residen Bahagian Miri dan Pejabat Daerah Miri.

“Perbincangan ini diadakan susulan kekeliruan nelayan mengenai sempadan kawasan Miri-Sibuti Coral Reef yang telah diwartakan sebagai Taman Negara,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa mempengerusikan Perbincangan Bersama Persatuan Kapal Nelayan Sarawak di Kompleks Islam Sarawak Miri pada Isnin.

Ujar Dato Sri Lee lagi, beliau mencadangkan kepada SFC untuk mengadakan perhubungan dan perbincangan bersama dengan semua agensi berkepentingan bagi memberikan penjelasan yang lebih terperinci berhubung sempadan tersebut.

“Antara perkara yang perlu dijelaskan ialah perincian berhubung aktiviti-aktiviti atau larangan-larangan di kawasan Taman Negara Miri-Sibuti Coral Reef di samping apa yang dibenarkan serta kelonggaran yang telah diberikan kepada nelayan-nelayan yang berdaftar dengan Jabatan Perikanan Laut Sarawak (JPLS) untuk menangkap ikan di kawasan Taman Negara Miri-Sibuti Coral Reef,” katanya.

Terdahulu, beliau telah dimaklumkan wakil nelayan mengenai kekeliruan dan kurang faham mengenai terma dan syarat berhubung kelonggaran yang diberikan kepada nelayan yang menangkap ikan di kawasan Taman Negara Miri-Sibuti Coral Reef selain tidak jelas mengenai had sempadan Taman Negara. 

Hadir sama Residen Bahagian Miri Abdul Aziz Mohd Yusuf dan Pemangku Pegawai Daerah Miri Siti Rohani Yusof, wakil SFVA, APMM, SFC dan JPLS Wilayah 3.-EDISI UKAS

add comment