RABU, 19 JANUARI 2022
LAWAS: Pusat Khidmat DUN Bukit Sari menerusi Biro Pendidikan akan terus membantu pelajar melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, bantuan ini termasuklah bantuan kewangan bagi perbelanjaan tambang serta persediaan peralatan pelajaran seperti laptop.
Selain itu, institusi pendidikan di Lawas ini juga akan dapat dinaik taraf dan diperbaiki.
“Kita tahu banyak sekolah yang dalam keadaan daif begitu juga kuaters guru dan asrama.
“Untuk bahagian Limbang ini, daripada peruntukan ganesi Pembangunan Luar Bandar (NRDA) kita juga agihkan untuk baik pulih sekolah, membina kuaters guru dan dewan sekolah menggunakan peruntukan tersebut.
“Kita tidak dapat membiarkan infrastruktur pendidikan kita dalam keadaan daif,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Penyampaian Sumbangan Beg Sekolah Daerah Lawas, Penyerahan Sumbangan Geran MRP, Penyerahan Sumbangan Laptop Kepada Pelajar IPT di Hotel Seri Malaysia Lawas pada Isnin.
Jelas Datuk Amar Awang Tengah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari lagi, masalah ini akan terus menjadi keutamaan Kerajaan Sarawak untuk memastikan daerah Lawas tidak tertinggal dalam baik pulih infastruktur pendidikan ini.
Malah, Kerajaan Sarawak juga telah memberikan peruntukan bagi membina Pejabat Pendidikan Daerah Lawas dan meningkatkan perkhidmatan internet.
“Talian internet juga dapat dipertingkatkan untuk keperluan komunikasi dan pembelajaran anak-anak.
“Beberapa menara komunikasi juga akan dilaksanakan di daerah Lawas termasuk meningkatkan lagi fiber optic coverage,” jelasnya.
Hadir sama Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia merangkap Ahli Parlimen Lawas Dato’ Henry Sum Agong, Residen Bahagian Limbang Ir Ahmad Denny Ahmad Fauzi, Penolong Pegawai Daerah Lawas Joseph Ganang Surang, wakil Pejabat Pendidikan Daerah Lawas Moksen Anuar dan Ketua-ketua Jabatan. -EDISI UKAS