Jangan Leka, Terus Patuhi SOP Putuskan Rantaian COVID-19

RABU, 19 JANUARI 2022

SERIAN: Rakyat di negeri ini diingatkan agar tidak leka dan kekal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan dalam memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Roland Sagah Wee Inn berkata, meskipun negeri ini sudah memasuki Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN), namun ia tidak menjadi alasan kepada masyarakat untuk menjadi alpa.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat itu turut menegaskan agar pematuhan SOP seperti penggunaan pelitup muka, penjarakan sosial serta menjaga kebersihan diri perlu kekal dipatuhi.

“Kita tidak boleh leka dan mengambil mudah berkaitan pematuhan SOP lebih-lebih lagi dengan kemunculan varian baru seperti Omicron dan Deltacron,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Penghargaan Para Petugas di Pusat Saringan dan Persampelan (SSC) COVID-19 Tapah anjuran Jawatankuasa Tapah Village Society pada Selasa.

Turut hadir, Residen Bahagian Serian merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Serian, Tuah Suni, Pegawai Daerah Serian, Lim Hock Meng dan Pegawai Daerah Siburan, Ranum Bari.

Tambah beliau, meskipun sudah diberikan kebebasan, namun masyarakat perlu terus memberi komitmen mematuhi langkah-langkah pencegahan, bagi mengelak kemungkinan berlakunya penularan dan kluster kes yang baharu. -EDISI UKAS

add comment