JPBB Bintulu Siap Sedia Hadapi Bencana Banjir

SELASA, 19 JANUARI 2022

BINTULU: Kerajaan Sarawak menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Sarawak telah membina benteng bagi menghalang air Sungai Sebiew melimpah masuk ke kawasan perumahan sekiranya berlaku hujan lebat.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Bintulu Datu Jack Aman Luat menerusi kenyataan media pada Selasa berkata, pembinaan benteng ini diyakini mampu mengurangkan risiko banjir kilat. 

“Bagi Kampung Kemunting, projek ‘Improvement To Sungai Sebab at Kampung Kemunting’ yang kini sedang dalam pembinaan diyakini  mampu mengurangkan risiko banjir jika projek ini siap sepenuhnya kelak,” katanya. 

Terdahulu beliau bersama Ketua Polis Daerah Bintulu Supt. Zulkipli Suhaili dan beberapa agensi di bawah JPBB BIntulu telah mengadakan lawatan ke Gem Park dan Kampung Kemunting yang dilanda banjir kilat pada Isnin. 

Mengulas lanjut, Datu Jack Aman yang juga Residen Bahagian Bintulu memaklumkan pihaknya kini telah bersiap sedia menghadapi sebarang bencana banjir pada musim tengkujuh atau monsun Timur Laut. 

“Semua agensi di setiap daerah juga telah diarahkan untuk bersiap sedia digerakan pada bila-bila masa. 

“Sejumlah 27 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan tiga buah pengkalan hadapan dalam siap siaga dan akan diselaraskan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Bintulu termasuk kelengkapan dan bekalan yang diperlukan,” ujarnya. 

Justeru, orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada terutamanya mereka yang berada di kawasan rendah dan mudah dinaiki air dan bersedia untuk berpindah segera ke PPS jika diarahkan berbuat demikian.-EDISI UKAS

add comment