Penduduk Uma Akeh Nikmati Jalur Lebar Percuma Melalui Inisiatif JENDELA

RABU, 19 JANUARI 2022

LONG LAMA: Susulan liputan internet yang kurang memuaskan bagi penduduk di Uma Akeh, kerajaan persekutuan melalui inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA) telah menyediakan kemudahan jalur lebar satelit secara percuma.

Kira-kira 800 penduduk di rumah panjang tersebut kini menikmati kemudahan tersebut yang telah siap pada Isnin dan akan dinikmati secara percuma selama dua tahun sehingga Januari 2024.

Pengerusi Kelab Belia Uma Akeh (KEBUMA) Spanski Steven berkata, penduduk kaum Kenyah di situ amat gembira dan berterima kasih dengan usaha kerajaan menyediakan internet yang pantas.

“Liputan internet di rumah panjang kami sebelum ini amat teruk sehingga penduduk terpaksa pergi ke tepi sungai untuk mencari capaian internet.

“Dengan adanya internet yang mempunyai kelajuan dan capaian yang baik, penduduk kini dapat menikmati internet di rumah panjang,” katanya.

Untuk rekod, rumah Uma Akeh terletak kira-kira 2 setengah jam perjalanan dari Miri. -EDISI UKAS

add comment