Perjuangan, Kemenangan GPS Untuk Rakyat Pada Masa Kini, Generasi Akan Datang

RABU, 19 JANUARI 2022

LAWAS: Perjuangan dan kemenangan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bukan sahaja untuk rakyat pada masa ini, tetapi juga untuk generasi akan datang.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, penentuan hala tuju Sarawak bergantung kepada rakyat Sarawak sendiri.

“Kita telah menang 76 kerusi daripada 82 kerusi dan ini adalah kemenangan besar dan keyakinan yang tinggi terhadap GPS. Inilah yang akan kita terus perjuangkan untuk memastikan Sarawak ini maju.

“Kita dapat meneruskan perancangan pembangunan dan kesejahteraan hidup masyarakat agar masyarakat kita keluar daripada perangkap kemiskinan,” katanya semasa Majlis Kesyukuran sempena kemenangan GPS Zon Jalan Punang dan penyampaian beg sekolah kepada beberapa pelajar SK Belipat di Dewan Kampung Batong, Jalan Punang pada Isnin.

Dalam pada itu, Datuk Amar Awang Tengah menambah, Kerajaan Sarawak bukan sahaja mengutamakan projek besar tetapi juga pelbagai projek-projek luar bandar dalam usaha mempertingkatkan lagi kemudahan kepada seluruh masyarakat.

“Kita akan utamakan kepada pembangunan infrastruktur termasuk dalam sektor pendidikan seperti sekolah-sekolah yang perlu dibaikpulih. Begitu juga dengan masjid, surau, dan gereja akan kita beri keutamaan untuk penambahbaikan dan sebagainya. Kita juga menumpukan pembangunan dari segi keagamaan agar melahirkan generasi yang berperibadi dan berakhlak baik.

“Persatuan-persatuan juga akan dibantu untuk menjalankan program-program yang berimpak positif kepada masyarakat. Program-program baikpulih rumah akan kita teruskan dan kita akan cuba bantu dengan memberi keutamaan kepada penyokong GPS,” katanya lagi. – EDISI UKAS

add comment