Selepas 2 Tahun Tidak Dapat Diadakan Akibat COVID-19, Program Sejambak Kasih Kini Kembali

RABU, 19 JANUARI 2022

MIRI: Setiap tahun apabila tibanya musim perayaan seperti Tahun Baharu Cina, Hari Raya Aidilfitri, Gawai Dayak, Deepavali dan Krismas, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak menganjurkan program Sejambak Kasih khusus untuk masyarakat yang memerlukan. 

Bagaimanapun, ujar Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Masyarakat Dato Sri Fatimah Abdullah, sudah dua tahun program sebegini tidak dapat diadakan disebabkan penularan wabak COVID-19. 

“Setiap musim perayaan JKM Sarawak akan mengadakan program yang menjadi signature program JKM Sarawak yang dipanggil Sejambak Kasih sempena musim perayaan,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Sejambak Kasih Tahun Baru Cina 2022 yang diadakan di Hotel Dynasty, Miri pada Rabu. 

Seramai 695 penerima berbangsa Cina di Bahagian Miri menerima peruntukan daripada JKM Sarawak dengan jumlah keseluruhan RM268,050 dan pada majlis itu daripada jumlah tersebut 100 orang penerima menerima sumbangan hamper bernilai RM150 sumbangan Hotel Dynasty dan wang tunai RM100.

Manakala, bantuan wang tunai JKM Sarawak kepada 595 orang akan dikreditkan terus ke akaun masing-masing. 

Hadir sama Menteri Muda Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Masyarakat II (Kesejahteraan Masyarakat) Mohamad Razi Sitam, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut yang juga Datuk Bandaraya Miri Adam Yii Siew Sang, pengarah JKM Sarawak Noriah Ahmad, Residen Bahagian Miri Abdul Aziz Yusuf dan Pengarah Urusan Hotel Dysnasty Miri Tpny Pui Sin Tam.-EDISI UKAS

add comment