KHAMIS, 20 JANUARI 2022
MIRI: Seramai 36 peserta terlibat dalam Program Latihan Kepimpinan Wanita (WLTP) yang diadakan di Hotel Imperial Miri pada Rabu.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Masyarakat, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, program ini dianjurkan di bawah Teras 3 Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak iaitu kepimpinan dan pembuat keputusan.
“Objektif program ini adalah meningkatkan bilangan pemimpin wanita Sarawak yang kompeten dan berkebolehan dalam kalangan Badan Bukan Kerajaan (NGO), komuniti serta belia dan mengupayakan pemimpin wanita terutama dalam kalangan belia dengan ilmu pengetahuan, kemahiran dan sikap mengenai kepimpinan bagi membolehkan para peserta berperanan secara berkesan.
“Program ini juga adalah untuk melahirkan lebih ramai pemimpin wanita di kalangan belia yang berkaliber, berkualiti, dan berkebolehan yang akan menjadi tonggak kepimpinan negeri Sarawak pada masa akan datang,” katanya dalam Sesi Libat Urus Kepimpinan Wanita (Zon Miri).
Dato’ Sri Fatimah juga berharap penganjuran program ini dapat melahirkan lebih ramai pemimpin wanita dalam kalangan belia yang berkaliber, berkualiti dan berkebolehan yang akan menjadi tonggak kepimpinan Negeri Sarawak pada masa akan datang.
Program Sesi Libat Urus Kepimpinan Wanita ini juga akan diadakan pada 29 Januari di Bintulu dan 8 Februari di Sibu.
Hadir sama Pengarah Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak Norita Bawi serta Ketua Wanita Cawangan PBB dari Miri (Piasau, Pujut, Senadin), Lambir, Bekenu dan Marudi.-EDISI UKAS