AgriCOP Pacu Pembangunan Komuniti Luar Bandar Dalam Pengeluaran Produk Makanan

KHAMIS, 20 JANUARI 2022

SIMUNJAN: Pendedahan program pembangunan pertanian, agromakanan dan perikanan darat dapat membantu meningkatkan pendapatan komuniti luar bandar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris memberitahu, Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg telah memberi peruntukan untuk para petani di seluruh Sarawak agar produk pertanian dapat dikomersialkan.

“Kita amat bertuah kerana Ketua Menteri kita menekankan program pertanian dan memberikan peruntukan yang banyak untuk para petani di Samarahan termasuk di seluruh Sarawak.

“Ianya agar produk pertanian dapat dikomersialkan memandangkan manusia memerlukan makanan setiap hari,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Penangguhan Kursus ‘Agriculture Community Outreach Programme’ (AgriCOP) di Dewan Masyarakat Kampung Terasi Ulu pada Rabu.

Selain itu jelasnya, seramai 92 peserta telah menyertai kursus AgriCOP pada kali ini dengan anjuran bersama Jabatan Pertanian Daerah Asajaya dan Pertubuhan Peladang Kawasan Simunjan yang menyasarkan komuniti dari Zon 4 Rangawan DUN Simunjan.

Awla menambah, kerajaan Sarawak turut memberikan peruntukan bagi membantu petani dan nelayan melalui Dana Fasilitasi Pertanian (AFF) serta peruntukan menerusi Agensi Pembangunan Wilayah Bersepadu Samarahan (IRSDA). -EDISI UKAS

add comment