Ahli Parlimen Batang Lupar Bentang 11 Cadangan Pengurusan Risiko Banjir

KHAMIS, 20 JANUARI 2022

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Batang Lupar, Dato’ Sri Rohani Abdul Karim telah membentangkan 11 cadangan berhubung penambahbaikan pengurusan risiko banjir melalui Mesyuarat Khas Dewan Rakyat di sini pada Khamis.

Cadangan yang dibincangkan bersama pihak Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (APPGM-SDG) tersebut memfokuskan tiga tema utama iaitu ‘Akauntabiliti Dan Ketelusan’, ‘Perancangan Guna Tanah Dan Pembangunan’ serta ‘Kesiapsiagaan Dan Pemulihan Bencana’.

Menurut Dato’ Sri Rohani, ia setelah mengambil kira kesan buruk akibat banjir pada masa hadapan disebabkan peningkatan penduduk, kadar urbanisasi dan pembangunan ekonomi di kawasan terdedah banjir termasuk intensiti cuaca ekstrim akibat perubahan iklim. 

Jelasnya, rancangan yang disenaraikan dalam tema pertama (Akauntabiliti Dan Ketelusan) adalah untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dan Suruhanjaya Perubahan Iklim.

“Bagi rancangan menerusi tema kedua (Perancangan Guna Tanah Dan Pembangunan), saya mencadangkan untuk mengkaji semula Perancangan Guna Tanah Negara, Rancangan Struktur Negeri dan Rancangan Tempatan termasuk Proses Penyahwartaan Hutan Simpanan Kekal di Malaysia.

“Selain itu, untuk menyegerakan penghasilan Pelan Adaptasi Kebangsaan dan Rancangan Malaysia ke-11, perlu mewujudkan Rangka Kerja Perundangan untuk mewajibkan Penilaian Strategik Alam Sekitar kepada semua dasar, pelan dan program serta memanfaatkan ekosistem semula jadi sebagai Khazanah Alam Negara dalam pengurusan risiko bencana dan adaptasi iklim,” katanya.

Seterusnya, beliau turut membentangkan rancangan di bawah tema kedua adalah untuk mentransformasikan kawasan perbandaran ke arah pengurusan air yang lebih holistik dan inovatif sekaligus mengkaji semula dan menghentikan pembangunan di kawasan sensitif alam sekitar .

Manakala katanya, rancangan di bawah tema ketiga (Kesiapsiagaan Dan Pemulihan Bencana) pula adalah untuk melaksanakan pengurusan risiko bencana berasaskan komuniti di seluruh negara berpandukan prinsip “no one left behind” dan juga membangunkan bingkas pulih (build back better).

“Justeru, saya menyeru agar kesemua cadangan yang dinyatakan dapat dipertimbangkan oleh pihak kerajaan dengan kerjasama semua pihak secara bipartisan untuk menjamin keselamatan rakyat, memastikan trajektori pembangunan negara tidak tersimpang akibat risiko bencana dan terus kekal dalam hala tuju pencapaian matlamat pembangunan lestari,” katanya.-EDISI UKAS

add comment