APMM Bintulu Tahan Bot Tunda, Tongkang Dan 8 Kru Atas Pelbagai Kesalahan

KHAMIS, 20 JANUARI 2022

BINTULU: Sebuah bot tunda berserta tongkang yang disyaki beroperasi menggunakan dokumen kebenaran yang tamat tempoh telah ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Bintulu pada Selasa. 

Mereka ditahan pada jarak lebih kurang 2.5 batu nautika dari muara Sungai Kemena Bintulu sekitar jam 7.45 malam. 

Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kapten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad berkata, tangkapan dibuat berikutan aduan komuniti maritim setempat dan pemantauan secara berterusan di kawasan yang dipercayai ‘hotspot’ bagi bot tunda beserta tongkang.

“Kapal Maritim (KM) Renggis semasa melaksanakan Operasi Permai di sekitar perairan Bintulu telah mengesan sebuah bot tunda beserta tongkang yang sedang leka melakukan kerja-kerja memindahkan muatan batu lebih kurang 1,000 metrik ke sebuah tongkang lain di lokasi tersebut sekitar jam lebih kurang 4.35 petang Selasa.

“Hasil pemeriksaan dan geledah, mendapati bot tunda tersebut disyaki beroperasi dan melakukan aktiviti pemindahan menggunakan dokumen yang telah tamat tempoh,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Hasil pemeriksaan lanjut dan penggeledahan ke atas tongkang juga mendapati tongkang tersebut disyaki beroperasi menggunakan “Domestic Shipping Licence” yang juga telah tamat tempoh.

Sehubungan itu, enam kru bot tunda ditahan termasuk nakhoda, yang terdiri daripada tiga lelaki warga tempatan, dua lelaki warga Indonesia dan seorang lelaki warga India yang mempunyai dokumen pengenalan diri yang lengkap. 

Manakala, dua kru warga Indonesia turut ditahan kerana melanggar syarat dalam pasport kerana bekerja di tempat yang bukan seperti dalam dokumen pasport. 

Kesemua lapa kru beserta bot dan tongkang ditahan dan diiring ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu untuk siasatan lanjut. 

Kes akan disiasat di bawah Akta Kastam 1967, Akta Imigresen 1959/63 dan Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 yang memperuntukan hukuman denda dan penjara jika disabitkan bersalah. 

Maritim Malaysia sentiasa mengalu-alukan maklumat serta aduan daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan ataupun kemalangan di laut secara terus ke talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Bintulu (086-314254)/ Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak (082-432544) yang beroperasi 24 jam. -EDISI UKAS

add comment