JKR Baiki Jalan Rosak Sepanjang Jalan Samarahan Expressway & Jalan Pesisir Asajaya-Sadong Jaya

KHAMIS, 20 JANUARI 2022

SAMARAHAN: Kerja membaik pulih jalan rosak dan berlubang di sepanjang jalan Samarahan Expressway dan Jalan Pesisir Asajaya-Sadong Jaya sedang dilaksanakan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR).

Ahli Parlimen Kota Samarahan, Rubiah Wang memberitahu, jalan pesisir dari persimpangan Kampung Tambay ke Asajaya kini dalam proses naik taraf.

“Proses ini melibatkan penurapan jalan tiga lapisan bagi memenuhi keperluan pengguna jalan raya yang semakin ramai dan dilalui oleh pelbagai jenis kenderaan termasuk kenderaan muatan berat.

“Berdasarkan aduan orang awam, terlalu banyak kenderaan berat lebih muatan menggunakan jalan ini sehingga pelaksanaan kerja baik pulih tergendala,” katanya.

Rubiah menambah, pihaknya merancang untuk meminta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menggandakan penguatkuasaan terhadap kenderaan melebihi mutan yang kerap menggunakan jalan berkenaan. -EDISI UKAS

add comment