MPP Belanja RM125,000 Bersihkan Sisa Pembuangan Haram Sepanjang Tahun 2021

KHAMIS, 20 JANUARI 2022

KUCHING: Majlis Perbandaran Padawan (MPP) telah membelanjakan kira-kira RM125,000 untuk membersihkan sisa pembuangan haram sepanjang tahun lepas.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang yang juga Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP), Lo Khere Chiang berkata, beberapa lokasi di kawasan Batu Kawah telah dikenal pasti menjadi tempat pembuangan sampah secara haram.

Katanya, lima lokasi yang dikenal pasti menjadi tempat pembuangan sampah secara haram adalah Jalan Kangkok, Batu Kawa, Kawasan Kuching City Mall, Jalan Arang 15C1, Jalan Ensing Timur dan Jalan Khung Phin Ulu.

Dalam tinjauan pada Khamis, Khere Chiang menegaskan, perkara itu bukan sahaja mencemarkan persekitaran malah menyebabkan MPP mengeluarkan perbelanjaan yang agak besar bagi tujuan berkenaan.

“Kebanyakan lokasi yang dikesan ialah kawasan sama yang telah dibersihkan oleh petugas MPP dan pekerja Syarikat Trienekens Sdn Bhd sebelum dikotorkan kembali oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Jenis sampah yang sering dibuang seperti sisa-sisa makanan termasuk bahan-bahan bungkusan makanan dan minuman, perabot rosak dan sebagainya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, pembuangan sampah secara haram adalah satu kesalahan di bawah Undang-undang Kecil 18(3), Undang-undang Kecil Pihak Berkuasa Tempatan (Kebersihan), 1999.

Ujarnya, sesiapa yang didapati bersalah membuang sisa secara haram boleh didenda RM1,000 untuk kesalahan pertama dan kesalahan kedua atau seterusnya, boleh didenda RM2,000 atau penjara selama enam bulan atau kedua-duanya sekali.-EDISI UKAS

add comment