Pulau Bruit Berpotensi Besar Menjadi Pusat Pengeluaran Makanan

KHAMIS, 20 JANUARI 2022

SEMOP: Kawasan Pulau Bruit berpotensi besar untuk menjadi pusat pengeluaran makanan ataupun ‘food basket’, menurut Menteri Muda Hal Ehwal Korporat, Penerangan Dan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Datuk Abdullah Saidol.

Sehubungan itu, beliau berharap Kerajaan Sarawak yang baharu mendapat mandat besar daripada rakyat akan terus memberikan perhatian dan belanjawan yang besar untuk memperkasakan warga tani dan nelayan tempatan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop menjelaskan dengan memperkasakan warga nelayan dan warga tani dapat mengurangkan kebergantungan Sarawak terhadap barang makanan import dan sebagainya.

“Warga nelayan di Pulau Bruit seramai hampir 2000 keahlian persatuan nelayan kawasan akan menyalurkan bekalan ikan dan warga tani dan pekebun akan menyalurkan berbagai jenis sayur dan buah-buahan dan sebagainya.

“Saya rasa Pulau Bruit memberi potensi yang besar untuk menjadi pusat bekalan makanan ataupun ‘food basket’.

“Dan saya harap Kerajaan Negeri Sarawak yang baharu mendapat mandat besar daripada rakyat akan terus memberikan perhatian dan belanjawan yang besar untuk warga tempatan bukan sahaja di Pulau Bruit malah di mana sahaja di negeri ini,” katanya ketika ditemuramah UKAS pada Majlis Penutupan Program Jangkauan Komuniti Pertanian (AgriCop) Pulau Bruit di Dewan Masyarakat Kampung Tekajong pada Rabu.

Menjelas lanjut, beliau berkata sebanyak RM1.5 juta bantuan input pertanian yang merupakan peruntukan tahun 2020 dan 2021 disalurkan kepada 290 peserta terlibat.

Ujarnya, Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom akan terus memberi perhatian kepada program tersebut kerana ia adalah antara inisiatif yang sangat baik dalam membantu menaiktaraf sosioekonomi warga pedalaman.

“Di kawasan bandar ada peranan mereka sendiri. Tetapi di kawasan pedalaman, warga tani dan warga nelayan adalah antara masyarakat yang berperanan sebagai penyalur sumber makanan kepada setiap rumah dalam negeri dan negara,” tambahnya.

Pada masa sama, beliau turut menggesa warga DUN Semop agar menubuhkan persatuan supaya pelbagai program atau bantuan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan teratur.

Dalam program tersebut, Datuk Abdullah turut menyampaikan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah keseluruhan RM66,800.

Senarai penerima peruntukan antaranya JK Masjid Al-Qudwah Kg Bruit (RM3000), JK Masjid lama Kg Bruit (RM3000), JK Masjid Darul Ibadah Kg Tekajong (RM3000), JK Masjid Darul Ibadah Kg Penipah (RM3000), JK Masjid Darul Islah Kg Salah Kecil (RM3000), JK Masjid Al-Quddus Kg Betanak (RM3000) dan JK Masjid Al-Firdaus Kg Penibong (RM3000).

Penerima lain adalah JK Surau Al-Azim Kg Tekajong (RM1500), JK Surau Kg Penipah (RM1500), JK Surau Kg Penuai (RM1500), Pertubuhan Gerakan Prihatin Pulau Bruit (RM5000), JKKK Kg Tekajong (RM3000), Kumpulan Hadrah Kg Tekajong (RM3300) dan Saberkas Semop (RM30,000). – EDISI UKAS

add comment