Semakin Ramai Pelajar Dari DUN Pantai Damai Melanjutkan Pengajian Di IPT

KHAMIS, 20 JANUARI 2022

KUCHING: Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Damai bersama Biro Pendidikan Pantai Damai serta Badan Muafakat Pendidikan Pantai Damai telah mengadakan Majlis Penyampaian Insentif Pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) bagi kawasan DUN Pantai Damai pada Khamis.

Simbolik penyerahan telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai, Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi kepada 65 orang penerima di Pusat Khidmat DUN Pantai Damai bertempat di Jalan Haji Taha.

Menurut ADUN Pantai Damai yang juga Menteri Muda Utilit dan Telekomuniksi II, objektif program tersebut adalah bagi memberikan galakan di samping menyatakan kebanggaan terhadap pelajar-pelajar yang telah berjaya melanjutkan pelajaran ke IPT.    

“Kita rasa bangga kerana sejak lima atau enam tahun yang lepas, bilangan pelajar-pelajar dari kawasan DUN Pantai Damai yang mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran ke pelbagai IPT di Negeri Sarawak mahupun luar negara semakin meningkat bilangannya.

“Usaha kita untuk melahirkan seramai boleh anak-anak muda yang berjaya dalam bidang pelajaran telah pun nampak kesannya daripada beberapa aktiviti dan perancangan yang telah kita laksanakan sejak hampir 10 tahun lalu,” katanya dalam sidang media selepas majlis tersebut.

Sehubungan itu, beliau berharap pada masa akan datang, lebih ramai lagi pelajar di kawasannya mendapat peluang tawaran melanjutkan pelajaran ke IPT. – EDISI UKAS

add comment