Bekalan Barangan Keperluan di Kuching Masih Stabil

JUMAAT, 21 JANUARI 2022

KUCHING: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mendapati bekalan barangan keperluan di sekitar bandar raya ini masih stabil.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, selain itu kepatuhan para peniaga dalam pelaksanaan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) juga amat tinggi.

Sementara itu, beliau memberitahu, KPDNHEP bersama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) telah mengeluarkan lebih 20 Permit Kelulusan (AP) untuk mengimbangkan harga ayam dalam pasaran.

“Langkah ini bagi menyelesaikan masalah kenaikan harga ayam yang dijangka timbul selepas SHMKM tamat.

“Kerajaan juga akan menilai semula kedudukan harga barang dan inflasi berdasarkan input dari Jabatan Statistik Malaysia (DOSM), Kementerian Kewangan dan MAFI sebelum memutuskan sama ada untuk melanjutkan skim itu atau sebaliknya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau pelaksanaan dan pematuhan SHMKM di Pasar Komuniti Stutong di sini pada Jumaat.

Sejurus selepas itu, beliau kemudian meninjau prestasi Segar@Mesra di Stesen Petronas Astana dan melawat Kilang Kek Lapis Warisan di Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce di sini. -EDISI UKAS

add comment