Kempen Advokasi Keselamatan Jalan Raya Pupuk Kesedaran Pengguna Di Atas Jalan Raya

JUMAAT, 21 JANUARI 2022

MIRI: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sarawak dengan kerjasama Pejabat Residen Bahagian Miri, Kementerian Pengangkutan Sarawak, Sarawak SHELL Bhd, PERKESO, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Majlis Bandaraya Miri (MBM) telah menganjurkan kempen Advokasi Keselamatan Jalan Raya sempena Perayaan Tahun Baru Cina di KM 6 Jalan Miri-Bintulu, MOSJAYA pada Jumaat. 

JPJ Negeri Sarawak menerusi kenyataan media berkata, kempen ini merupakan salah satu inisiatif untuk memupuk kesedaran di kalangan pengguna jalan raya mengenai kepentingan menitik beratkan aspek keselamatan semasa berada di atas jalan raya. 

“Kerajaan sentiasa memastikan agar pengguna jalan raya sentiasa diberikan pendidikan mengenai pentingnya mematuhi peraturan jalan raya dan menyemai sikap mengamalkan pemanduan berhemah sepanjang masa.

“Fokus pelaksanaan program ini adalah kepada Pemandu Kenderaan, Penunggang Motosikal dan Pemandu/Penunggang P-Hailing,” kata kenyataan itu. 

Turut diadakan satu sesi pocket talk bagi tujuan menyampaikan mesej-mesej mengenai keselamatan jalan raya bagi penunggang motosikal. 

Kempen Advokasi Keselamatan Jalan Raya telah disempurnakan Menteri Muda II (Pengangkutan) Sarawak Dato Henry Harry Jinep dan dihadiri Residen Bahagian Miri Abdul Aziz Mohd Yusuf, Pengarah JPJ Negeri Sarawak Norizan Jili, Ketua Cawangan JPJ Miri Maya Morshidi, Pengurus Besar Shell Sdn Bhd Jonathan Jolly dan SOCSO Miri Griffin.

Dalam pada itu, JPJ Negeri Sarawak turut memaklumkan bandar Miri mencatat penurunan jumlah keseluruhan kemalangan berjumlah 16.6 peratus. 

Begitupun, berlakunya peningkatan pada jumlah kemalangan maut  sebanyak 2.3 peratus dengan melibatkan peningkatan jumlah kematian sebanyak 11.1 peratus.

Mengenai statistik pendaftaran kenderaan di Sarawak pada 202i sebanyak 38,514 buah kenderaan yang telah didaftaran di seluruh Sarawak merangkumi kenderaan persendirian dan kenderaan perkhidmatan awam, iaitu penurunan sebanyak 38 peratus berbanding jumlah yang didaftarkan pada tahun 2020 sebanyak 62,998 buah kenderaan. -EDISI UKAS

add comment