Kepimpinan Datuk Francis Harden Diyakini Di DUN Simanggang

JUMAAT, 21 JANUARI 2022

SRI AMAN: Sokongan padu yang diberikan oleh para pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Simanggang semasa Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN12) yang lepas mencerminkan jaminan dan keyakinan penuh rakyat di kawasan itu terhadap kepimpinan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang, Datuk Francis Harden Hollis.

Beliau yang dilantik semula sebagai Menteri Muda dengan portfolio baharu dalam Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat juga jelas menandakan komitmennya selama ini membawa peningkatan kepada kemajuan Sarawak.

Berucap di Majlis Apresiasi Petugas PRN12 Simanggang pada Rabu, Datuk Francis menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg kerana memberi kepercayaan dengan melantik beliau untuk menggalas jawatan dan amanah tersebut.

Tambahnya, penghargaan dan terima kasih juga dipanjangkan kepada pengundi serta petugas yang telah bertungkus lumus membantu mengekalkan kerusi GPS di kawasan itu.

Dihadiri kira-kira 350 jemputan dari kalangan petugas, majlis anjuran Pusat Khidmat Masyarakat N.32 Simanggang tersebut diadakan dengan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan di Golden City Restaurant. -EDISI UKAS

add comment