Kerjasama Erat Wakil Rakyat & Pejabat Daerah Mudahkan Perkhidmatan Terbaik Kepada Rakyat

JUMAAT, 21 JANUARI 2022

LUNDU: Kerjasama erat antara Pejabat Daerah Lundu dan Pejabat Daerah Kecil Sematan bersama wakil rakyat perlu dimantapkan lagi bagi memastikan perancangan pembangunan dapat berjalan lancar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan berkata, kerjasama erat berkenaan akan memudahkan kedua-dua pihak memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Menurutnya, perancangan wakil rakyat di sesuatu kawasan pasti tidak berjalan lancar sekiranya tiada kerjasama daripada Pejabat Daerah dan penduduk kawasan itu sendiri.

“Tanpa adanya kerjasama ini, adalah mustahil bagi wakil rakyat melakukan tugas dengan efisien untuk rakyat, jadi kerjasama erat ini perlu dimantapkan lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Program Randau Bersama ADUN Tanjong Datu di sini pada Khamis.

Dalam program yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Kebajikan dan Sosial Pejabat Daerah Lundu tersebut, Azizul turut memuji kerjasama erat yang diberikan oleh jawatankuasa berkenaan kepada mantan ADUN Tanjong Datu dan berharap agar kerjasama erat itu dapat diteruskan bersama beliau.

Hadir sama, Pegawai Daerah Lundu, Gustian Durani, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan dan Sosial Pejabat Daerah Lundu, Jamsari Ahamad dan Pegawai Menguasa di Pejabat Daerah Kecil Sematan, Hershad Ehsan Haman.-EDISI UKAS

add comment