Miri Catat Trend Penurunan Kes Positif COVID-19, Bilangan Masyarakat Divaksin Meningkat

JUMAAT, 21 JANUARI 2022

MIRI: Bahagian Miri telah merekodkan trend penurunan kes positif COVID-19 dan peningkatan bilangan masyarakat yang telah mendapatkan vaksin COVID-19.

Menteri Bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri Dato Sri Lee Kim Shin berkata, walau bagaimanapun, JPBB Miri mengingatkan masyarakat di Bahagian Miri supaya terus peka dan perlu sentiasa berwaspada.

“JPBB Miri ingin memaklumkan bahawa Bahagian Miri merekodkan trend penurunan kes COVID-19 sejak pertengahan bulan Oktober 2021.

“Sejak EW51/2021, Bahagian Miri telah melaporkan kurang dari sepuluh kes harian COVID-19, dan kurang dari lima kes harian COVID-19 sejak EW1/2022.

“Bilangan masyarakat di Bahagian Miri yang telah mendapatkan vaksin COVID-19 (dos 1, dos 2, dan dos penggalak) juga semakin meningkat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Pertama JPBB Miri bagi mendengar taklimat mengenai situasi COVID-19 di Bahagian Miri pada Khamis.

Dalam pada itu, Dato’ Sri Lee turut menyeru penduduk di Bahagian Miri yang telah mendapatkan dos lengkap vaksin COVID-19 (dos 1 dan dos 2) untuk mendapatkan dos penggalak masing-masing

“Bagi penduduk di Bahagian Miri yang telah mendapatkan dos lengkap vaksin COVID-19 (dos 1 & dos 2) adalah diseru untuk mendapatkan dos penggalak masing-masing.

Manakala bagi yang uzur atau pesakit yang terlantar di rumah boleh mendapatkan khidmat ‘Mobile Team’ untuk program pemberian vaksinasi di rumah,” ujarnya. -EDISI UKAS

add comment