MOT Terus Ganda Usaha Selesai Isu Yang Berkaitan Dengan Sektor Perkapalan Di Sarawak

JUMAAT, 21 JANUARI 2022

MIRI: Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOT) telah melakukan usaha berterusan untuk menyelesaikan beberapa isu yang berkaitan dengan sektor perkapalan di Sarawak.

Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Seri Lee Kim Shin berkata, isu-isu ini telah ditangani dan keputusan telah disampaikan untuk perhatian pihak atasan.

Katanya, sejak penubuhan Kementerian Pengangkutan, Sarawak usaha berterusan telah diambil untuk menyelesaikan beberapa isu yang berkaitan dengan sektor perkapalan di Sarawak.

“Isu-isu ini telah ditangani dan keputusan telah disampaikan untuk perhatian pihak atasan.

“Contohnya, pengecualian untuk kapal tangki tunggal beroperasi di sungai-sungai di Sarawak, Seafarers Sign-on dan Sign-off SOP semasa wabak COVID-19 di Sarawak dan sebagainya.

“Saya memberi jaminan bahawa Kementerian Pengangkutan, Sarawak akan terus memainkan peranan kita untuk memastikan sektor perkapalan kita di Sarawak ditadbir dengan baik dan terus maju,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa pelancaran Sesi Dialog Antara Persatuan Pemilik-Pemilik Kapal Sarawak dan Sabah dengan Jabatan Laut dan Kementerian Pengangkutan Sarawak di Miri pada Khamis.

Dato Seri Lee menambah, MOTS juga bercadang untuk mengambil alih pendaftaran bot 15 tan ke bawah daripada Jabatan Laut yang akan ditadbir oleh Lembaga Sungai Sarawak.

“Oleh itu, ini memerlukan pegawai yang dilantik perlu menjadi juruukur bertauliah yang mempunyai kemahiran dan pengetahuan khusus untuk menjalankan tugas ini.

“Untuk kesediaan dan kelancaran pentadbiran skop kerja baharu ini para pegawai mestilah terlatih dan cekap untuk menjalankan tugas.

“Dalam persediaan itu, pegawai saya telah memulakan komunikasi dengan Institut Latihan Pengangkutan Laut (MATRAIN) di Pelabuhan Klang untuk membantu kami dengan menyediakan latihan yang diperlukan kepada pegawai kami,” tambahnya.

Justeru, beliau ingin mendapatkan pertimbangan daripada Ketua Pengarah Laut Malaysia Dato’ Baharin Dato’ Abdul Hamid untuk pengecualian yuran latihan untuk pegawai MOTS menghadiri kursus yang diperlukan dan disediakan MATRAIN.

Hadir sama, Menteri Muda II Pengangkutan Sarawak Dato Harry Henry Jinep, Ketua Pengarah Laut, Jabatan Laut Malaysia Dato’ Baharin Dato’ Abdul Hamid, dan Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Dato Hazman Hussein.-EDISI UKAS

add comment