RM50 Juta Diperuntukan Dalam RMK12 Bina Pusat Komuniti Berkeperluan Khas

JUMAAT, 21 JANUARI 2022

KUCHING: Sebanyak RM50 juta telah diperuntukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi pembinaan Pusat Komuniti Berkeperluan Khas (SNCC).

Menteri Pembangunan Wanita ,Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata Kerajaan Sarawak telah bersetuju membina kemudahan seperti Kompleks SNCC untuk golongan Orang Kurang Upaya (OKU) yang kini masih dalam peringkat awal perbincangan.

“Sarawak bakal mempunyai Kompleks Pusat Komuniti Keperluan Khas yang julung kalinya diadakan di Malaysia,

“Kerajaan Sarawak juga telah bersetuju untuk membuat perancangan dari segi reka bentuk bangunan dan kemudahan yang disediakan dalam kompleks tersebut,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Bengkel Pemerkasa OKU di Boutique Hotel di Kuching pada Jumaat.

Beliau juga menambah dengan adanya kompleks tersebut akan membuka peluang kepada golongan OKU untuk mendapatkan perkhidmatan dari segi ‘diagnosis’ dan ‘screening’ serta pembelajaran, latihan vokasional, pekerjaan, tempat tinggal dan banyak lagi.

Mengulas penganjuran Bengkel Pemerkasa OKU itu, Dato Sri Fatimah memberitahu, dengan adanya bengkel tersebut juga adalah bertujuan untuk mendengar suara dan aspirasi OKU bersama jabatan dan agensi pelaksana.

“Dengan adanya bengkel kebersamaan mereka dapat menyuarakan hasrat dan mendengar serta membuat perubahan yang diperlukan”ujarnya.

Pada majlis itu juga, beliau turut melancarkan buku yang ditulis Pengasas Wishesland, Chi Poh Yung yang berjudul “Be Rich With Purpose”.

Hadir sama Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak, Noriah Ahmad dan Pengasas Wishesland Chi Poh Yung.-EDISI UKAS

add comment