31 KMKK Di DUN Jemoreng Terima Watikah Pelantikan 

SABTU, 22 JANUARI 2022

MATU: Seramai 31 Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) menerima Watikah Pelantikan dan Akad Sumpah KMKK bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jemoreng bagi tahun 2022.

Majlis berkenaan diadakan bertempat di bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Matu pada Khamis.

Watikah pelantikan dan akad sumpah tersebut juga telah disaksikan Menteri Muda Integriti dan Ombudsman merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng, Dato Murshid DiRaja Dr Juanda Jaya kepada tujuh KMKK yang baharu dan 24 KMKK yang melanjutkan perkhidmatan mereka di kawasan itu.

Tujuh KMKK yang baharu adalah Penghulu Kaum Cina, Law Ai San; Ketua Kaum Kampung Majsid, Sekaan Besar Matu, Saupi Rajali; KK Kampung Hilir Kuala Matu, Lapok Rawit; KK Kampung Baru Tian, Wannty Shamshudin; KK Kampung Baru Ismail Igan, Mohamad Jasa Teh, Tuai Rumah Gangga Bruan Besar Matu, Entoi Sat dan Kapitan Pasar Lama Matu, Tan Tu Hock.

Sehubungan itu, Dato Murshid DiRaja Juanda berpesan dan menasihati KMKK yang baru dilantik agar melaksanakan tanggungjawab mereka menggalas keperluan dan kehendak penduduk sekitar dan sentiasa aktif bagi merancang sagala aktiviti bagi memajukan kampung dengan inisiatif dan peruntukan yang diberikan oleh Kerajaan Sarawak.

Selain itu, ADUN Jemoreng bersama Pegawai Daerah Matu, Wan Hipni Wan Mohamad turut memberikan penghargaan kepada mantan KMKK di kawasan tersebut sebagai tanda terima kasih di atas khidmat mereka yang telah menggalas tanggungjawab sebagai KMKK selama ini.-EDISI UKAS

add comment