Gandingan Empat Wakil Rakyat GPS, Senator Fokus Selesai Isu, Masalah Rakyat Sibu

SABTU, 22 JANUARI 2022

SIBU: Gandingan empat wakil rakyat Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan memberikan tumpuan lebih bagi menyelesaikan isu dan masalah yang dihadapi masyarakat Sibu.

Pasukan itu dibentuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka Dr Annuar Rapaee, ADUN Bukit Assek Joseph Chieng Jin Ek, ADUN Dudong Datuk Seri Tiong King Sing dan ADUN Pelawan Michael Tiang dan juga Ahli Dewan Negara Senator Robert Lau.

Menurut Dr Annuar yang juga Menteri Muda Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, setiap ahli dipertanggungjawabkan untuk memberikan tumpuan terhadap sesuatu isu.

“Kita telah mengambil pendekatan menubuhkan pasukan yang terdiri daripada wakil rakyat GPS untuk sentiasa bersama berbincang mengenai masalah seperti air, banjir, perparitan, pengangkutan awam, rumah kos rendah dan juga isu perkhidmatan hospital.

“Masing-masing telah dibahagikan tugas..dan kita akan bekerjasama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Taklimat Pembangunan Semula Bukit Assek di Sibu pada Sabtu.

Dr Annuar juga menambah pasukan itu bukan sahaja berusaha menyelesaikan isu rakyat tetapi turut komited dalam memberikan perkhidmatan terbaik sebagai wakil rakyat dan optimis membentuk ‘Sibu Baharu’.

“Ini adalah kali pertama dan kali pertama juga Sibu diwakili banyak wakil rakyat dalam kerajaan.

“Jadi kita menubuhkan pasukan yang kita gelar pasukan baharu untuk Sibu Baharu yang akan berusaha menyelesaikan isu rakyat dan memberi perkhimatan yang efektif untuk masyarakat Sibu,” tambahnya. -EDISI UKAS

add comment