Kerjasama Mantap Wakil Rakyat Bersama Pejabat Daerah Tingkat Perkhidmatan Kepada Rakyat

SABTU, 22 JANUARI 2022

LUNDU: Kerjasama yang mantap antara wakil rakyat dan Pejabat Daerah akan meningkatkan perkhidmatan kerajaan kepada rakyat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang berkata, kerjasama antara Pejabat Daerah Lundu dan Pejabat Daerah Kecil Sematan dengan beliau amat diperlukan bagi memastikan inisiatif dan inspirasi wakil rakyat khususnya bagi DUN Opar dapat dicapai.

Katanya, isu pembangunan dan isu setempat juga perlu dibincangkan antara dua pihak bagi manfaat masyarakat setempat.

Beliau berkata demikian semasa Program Randau Bersama ADUN Opar di Kampung Pasir Hulu pada Jumaat.

Hadir sama, Pegawai Daerah Lundu, Gustian Durani serta pegawai kerajaan lain.

Dalam program yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Kebajikan dan Sosial Pejabat Daerah Lundu tersebut, Billy berharap program itu menjadikan satu titik permulaan bagi kerjasama erat di antara dua pihak.

Billy juga menyatakan menerusi kerjasama erat ini, inisiatif dan inspirasi bagi DUN Opar dapat direalisasikan secara tidak langsung. -EDISI UKAS

add comment