Pembangunan Infrastruktur Di Kawasan Hab Halal Tanjung Manis Beri Impak Sosio Ekonomi

SABTU, 22 JANUARI 2022

BELAWAI: Pembangunan dan pembinaan infrastruktur di kawasan Hab Halal Tanjung Manis akan memberi manfaat dan impak besar kepada sosio ekonomi penduduk di rumah-rumah panjang Kampung Sebayang.

Mereka akan menerima limpahan pembangunan dengan bermulanya projek pembinaan benteng, jalan raya dan sistem saluran dengan pintu air atau ‘tidal gate’ di kawasan Hab Halal Tanjung Manis.

Projek sepanjang 11.9 kilometer tersebut menelan belanja RM97 juta dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun bermula 29 Disember 2021 sehingga 28 Disember 2023.

Projek khusus kepada naiktaraf benteng yang sedia ada dan bina jalan berturap (R3) serta pembinaan tiga pintu air.

Bercakap pada sesi taklimat tersebut Menteri Muda Pembangunan Bandar dan Sumber Asli merangkap ADUN Kuala Rajang, Datu Len Talif Salleh menjelaskan bahawa projek ini penting bagi kesinambungan jangka panjang di samping mampu menarik lebih ramai pelabur luar ke kawasan Tanjung Manis.

Selain itu, beliau menegaskan mana-mana tanah yang terlibat dalam projek ini akan dibayar pampasan sewajarnya dan tidak mahu mendengar tuduhan tidak berasas menyatakan kerajaan mengambil dan merampas tanah rakyat.

Susulan dari sesi taklimat ini, Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Mukah akan sekali lagi menjalankan dialog bersama pemilik-pemilik tanah sebelum proses penyukatan dapat dijalankan.

Pada sesi yang sama, penduduk memohon kepada kerajaan untuk turut membina benteng bagi melindungi kawasan kampung dan rumah panjang di Sebayang berikutan keadaan air pasang besar yang membahayakan keselamatan rumah-rumah penduduk.

Hadir sama pada sesi taklimat ialah Ketua-Ketua Jabatan, Ketua-Ketua Kaum dan Masyarakat dan tuai-tuai rumah dari Sebayang. – EDISI UKAS

add comment