Persatuan Bekas Pelajar Sekolah St. Joseph Miri Anjur Kempen Derma Darah

SABTU, 22 JANUARI 2022

MIRI: Persatuan Bekas Pelajar Sekolah St. Joseph Miri telah menganjurkan kempen derma darah di Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) Miri pada Sabtu.

Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Penasihat Persatuan Bekas Pelajar Sekolah St. Joseph Miri, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, aktiviti ini diadakan bertujuan untuk membantu meningkatkan bekalan simpanan darah di Tabung Darah Hospital Miri.

“Kita sangat gembira melihat sokongan dan respons yang baik daripada pelbagai NGO yang datang ke sini dan menderma darah,” katanya ketika ditemui media selepas meninjau ke program tersebut.

Dato Sri Lee turut menzahirkan terima kasih kepada NGO yang sudi menganjurkan program seumpama ini.

Justeru beliau menyeru NGO di setiap kawasan untuk kerap menganjurkan program derma darah bagi membantu meningkatkan bekalan simpanan darah di Hospital Miri.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin berkata, masyarakat juga digalakkan untuk menderma darah yang dianggap sebagai amalan mulia kerana dapat membantu menyelamatkan nyawa orang lain.

Hadir sama, Pengerusi Persatuan Bekas Pelajar Sekolah St. Joseph Miri, Gerald Goh.-EDISI UKAS

add comment