Semua Sekolah Ambil Langkah Keselamatan, Elak Insiden Tidak Diingini

SABTU, 22 JANUARI 2022

KUCHING: Semua sekolah di negeri ini diminta untuk mengambil langkah-langkah keselamatan bagi mengelak daripada berlakunya insiden yang tidak diingini.

Menteri Pendidikan, Inovasi Dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Roland Sagah Wee Inn berkata, merujuk kepada insiden yang berlaku di Sekolah Kebangsaan (SK) Long Bemang melibatkan seorang murid yang terjatuh daripada koridor sekolah berkenaan pada Jumaat, pihaknya telah mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan kejadian sama tidak berulang.

Beliau menambah, murid perempuan yang terjatuh dan mengalami kecederaan ringan telah dibawa ke hospital menerima rawatan sebelum dibenarkan keluar selepas itu.

“Saya mahu semua sekolah di Sarawak mengambil langkah-langkah sewajarnya bagi memastikan keselamatan pelajar, guru, staf sokongan dan pelawat adalah terjamin,” katanya kepada Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), pada Sabtu.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, pembinaan semula bangunan SK Long Bemang telah diluluskan di bawah Projek Sekolah Daif RM1 bilion dengan anggaran kos sebanyak RM6 juta dan ditender pada tahun 2021.

Bagaimanapun ujarnya, memandangkan proses tender sebelum itu tidak berjaya, maka ia akan ditender semula pada Febuari tahun ini. -EDISI UKAS

add comment