800 Pelajar DUN Kuala Rajang Terima Sumbangan Melalui Program ‘Back To School’

AHAD, 23 JANUARI 2022

SARIKEI: Seramai 800 orang pelajar di seluruh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Rajang telah menerima sumbangan keperluan asas dan peralatan sekolah melalui Program ‘Back To School’.

Program tersebut telah diadakan di Everwin Supermarket dan Masjid Ar- Rahmah Kampung Seberang, Sarikei pada Sabtu.

Menteri Muda Pembangunan Bandar dan Sumber Asli merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang, Datu Len Talif Salleh sempat bersama bagi menyantuni para penerima dan beramah mesra bersama pelajar.

Menurut beliau, sebanyak RM100,000 telah diperuntukan bagi menjayakan Program ‘Back To School’ pada tahun ini.

Dalam pada itu, beliau amat bersyukur kerana program kemasyarakatan seperti ini masih dapat dilaksanakan setiap tahun yang bertujuan membantu meringankan beban ibu bapa dalam menyediakan peralatan persekolahan anak-anak mereka.

Selain itu, beliau juga berkesempatan melawat dan meninjau kemajuan projek naiktaraf Dewan Masjid Ar-Rahmah, Kampung Seberang, Sarikei yang bermula pada 4 November 2021 dan dijadualkan siap pada 3 Mac 2022.

Sehubungan itu, beliau berpuashati dengan kemajuan projek dan berharap ianya siap mengikut jadual dan dapat digunakan oleh penduduk menjelang bulan Ramadhan dan Hari Raya Aidilfitri yang akan datang.-EDISI UKAS

add comment